Nuffnang

Tuesday, March 31, 2009

CANNIBAL

Cerita lama...

Entah pada tahun berapa ianya ditayangkan di pawagam. Tapi, yang pastinya, ianya berpuluh-puluh tahun dahulu.

Cannibal Holocaust, entahlah boleh dikategorikan filem paling sial dengan aksi bogel para pelakonnya dengan sekalian pelakon tambahan yang memainkan watak puak makan orang ataupun satu filem provokasi.

Malaysia telah mengharamkan filem ini daripada ditayangkan di pawagam. Memang satu langkah yang baik. Anak-anak kecil sememangnya tidak boleh atau tidak payah menonton filem ini. Aksi makan manusia, berbogel dan melakukan hubungan seks adalah suatu yang amat tidak elok untuk dipertontonkan dalam kalangan anak-anak kecil dan juga orang dewasa sendiri.

Namun, apa yang menarik perhatian saya pada filem ini bukanlah pada kebolehen pengarahnya memanipulasi aspek penataan cahaya ataupun lakonlayar, sebaliknya satu dialog yang diucapkan oleh seorang pelakonnya pada penghujung filem ini.

Setelah usai menonton video yang dirakam oleh 'pengkaji-pengkaji' yang telah mati dimakan oleh puak makan orang itu ataupun kanibal, seorang pelakon yang melakonkan watak seorang profesor itu mengucapkan dialog ini, " I wonder who the real cannibals are..." Pernyataan ini seolah-olah menyindir manusia-manusia moden yang tidak tahu menghormati manusia-manusia kuno yang kebanyakannya masih wujud di dalam hutan-hutan belantara seluruh dunia ini. Ya, memusnahkan petempatan orang asli, melakukan hubungan seks secara terang-terangan dan juga membunuh sesuka hati, ini bukanlah perangai manusia yang bertamadun.

Sesetengah babak di dalam filem ini sememangnya menjijikkan. Terutamanya babak menyembelih seekor penyu di tepi sungai. Penyu itu bukanlah penyu yang palsu atau direka khas untuk babak itu, sebaliknya ia adalah penyu yang sebenar. Padahal mana-mana pengarah filem tidak boleh sama sekali membunuh haiwan atau mencederakannya di dalam filem arahannya. Kesannya, filem ini diharamkan di banyak negara.

Hendak berlapang dada saat menonton filem ini amat sukar sekali.

Monday, March 23, 2009

LENA DI ATAS PANGKUAN IBU

Ketika itu, saya demam.
Demam yang sungguh berat.
Saya beru sahaja memakan ubat yang diberikan oleh doktor.
Nampak gayanya memang saya tak pergi ke sekolah esoknya.

Ibu memarahi saya kerana bermain hujan tempoh hari.
Ya, budak kecil tidak boleh main hujan.
Sungguhpun hujan itu hujan rahmat.

Kepala saya terasa berat sekali. Sudah dua kali saya muntah di atas kain ibu. Ibu marah. Tetapi ibu masih sudi membiarkan saya berbaring di atas ribanya.

Sehinggalah saya terlena. Tetapi tidak terlalu nyenyak.

Dan...

Saya terasa, jari-jemari ibu memicit-micit badan saya yang lesu.

Ibu saya memang garang.

Thursday, March 12, 2009

BETAPA INDAHNYA

Sila beritahu saya, siapa yang dapat menafikan keindahan Bahasa Melayu ? Sesungguhnya, orang luar sendiri mengakui akan kehebatan bahasa kita. Lama dahulu, saya pernah menonton sebuah rancangan di TV1 berkenaan dengan Bahasa Melayu. Saya kagum dengan seorang pensyarah dari sebuah negara barat yang dapat bertutur dengan baik dalam Bahasa Melayu. Dan dia juga turut mengagumi keindahan Bahasa Melayu itu sendiri.

Kita pula ? Cuba membunuh bahasa sendiri.

Beralasanlah dengan apa jua alasan, membunuh tetap membunuh. Saya berpegang begini, jika Bahasa Melayu sudah mampu menterjemah seraya mentafsirkan al-Quran, itu telah terbukti bahawa Bahawa Bahasa Melayu juga telah mampu menghuraikan ilmu sains dan matematik. Hal ini kerana ilmu sains dan matematik itu juga terdapat di dalam al-Quran.

Masalahnya sekarang ini, ada puak di luar sana yang tidak sudah-sudah menyatakan yang kita hanya boleh maju setanding dengan negara barat dengan menguasai sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Apabila orang cuba berhujah, dikatakan pula mereka itu jumud, katak di bawah tempurung, bodoh dan macam-macam lagi.

Pada mulanya, saya menyangkakan yang tentunya orang yang menyangkal perkara ini merupakan ilmuwan-ilmuwan yang terlibat dengan bidang bahasa secara langsung. Tetapi sebaliknya berlaku. Ilmuwan-ilmuwan yang arif lagi bijaksana dalam bidang sains dan matematik itu sendiri menolak perkara ini. Mereka sependapat dengan pejuang bahasa. Kita hanya boleh maju ke depan dengan bahasa kita sendiri, bukan bahasa orang lain. Dahulu, Datuk Hassan Ahmad juga pernah menegaskan perkara ini di dalam sebuah artikel tulisannya. Menurutnya juga, nilai tambah sesuatu ilmu itu hanya dapat terhasil melalui bahasa kita sendiri.

Saya setuju benar dengan perkara ini. Oh ya, sudah semestinya puak-puak itu akan sedaya upaya menolak pernyataan ini, sungguhpun ia benar.

Bahasa Melayu itu teramat indah. Indahnya mempesonakan bangsa lain. Mereka amat cemburu dengan bangsa kita yang memiliki bahasa yang sopan dan teratur.

Kita ? Tak sudah-sudah 'gilakan' mereka.