Nuffnang

Friday, September 25, 2009

PASCA RAMADHAN

...Tentulah ianya dipanggil Syawal.

Kalau biasa kita tonton di Tv, beria-ia mereka meraikan Syawal. Ya, tentunya dengan cara 'mempublisitikan' Syawal sebagai satu cara untuk melariskan barang jualan. Celaka. Kerana berniaga, kesucian Syawal tergadai.

Bangun Subuh, kita dapati kita tidak dibenarkan berpuasa pada 1 syawal. Namun, kita digalakkan bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepada Tuhan kerana hadirnya Syawal ini adalah sebagai petanda kemenangan. Kemenangan apa yang diraikan ini ?

Kemenangan mengharungi Ramadhan dengan tabah. mengharungi Ramadhan ini bukan sahaja dengan berlapar dahaga, namun keseluruhan anggota badan turut sama 'berpuasa'.

Nah, bagaimana agama Islam meraikan sesuatu ? Dengan tasbih, tahmid dan takbir. Begitu nabi mengajar kita. Jadi, jika kita meraikan kemenangan apa pun, bertakbir, bertasbih dan bertahmid adalah perkara yang terbaik untuk kita lakukan.

Syawal sepatutnya menyaksikan perubahan. Perubahan apa ? Perubahan nilai.

Nilai ini bergantung kepada kualiti puasa ketika Ramadhan. Ramai dalam kalangan kita gagal meningkatkan nilai ini kerana kurangnya penghayatan dalam berpuasa. Baru 1 Ramadhan, kepala otak sudah berfikir tentang baju raya, langsir, kuih raya, ketupat, rendang dan lemang.

Buat seorang abid dan ulama, mereka senang sekali merenung diri ketika Ramadhan dan sedaya upaya mempertingkatkan nilai diri supaya menjadi seorang hamba Tuhan yang bertakwa.

Kesannya, pada Syawal, mereka menjadi hamba yang bersyukur dan semakin tenang jiwanya kepada Tuhan.

Saya perhatikan, betapa kegilaan kita hendak meraikan Syawal sehinggakan ketenangan Ramadhan lenyap dibawa bau rendang, ketupat, lemang, belerang mercun, wangi baju, harum sampin dan indah rupa.

Sememangnya kita digalakkan untuk berpakaian indah dan menghias rumah ketika menyambut Syawal, namun bukan sehingga membazir. Tidak membazir juga merupakan salah satu cara bersyukur.

Ya, kita tidak boleh menyamakan cara orang Arab menghias rumah. Hal ini melibatkan budaya yang berbeza. Namun, kita tetap wajib untuk tidak membazir. Kalau nabi tidak membazir, kita juga tidak boleh membazir.

Solat Raya

Sungguhpun ianya sunat, namun kita amat digalakkan untuk menunaikannya. Yalah, hanya setahun sekali. Betapa ruginya.

Sungguh mengharukan apabila kita bersama-sama dengan jemaah yang lain melaungkan takbir, tasbih dan tahmid sehingga gugur air mata keharuan. Itu buat mereka yang menghayati setiap bait kata dalam alunan suci itu.

Selesai bertakbir, kita mendirikan solat sunat hari raya. Tujuh takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.

Selepas itu, kita duduk mendengar khutbah khas untuk Aidilfitri. Sungguh menenangkan jiwa.

Memohon maaf

Apalah ertinya Syawal tanpa bermaaf-maafan. Ianya budaya yang dituntut dalam Islam. Runtuhkanlah ego kita untuk memohon maaf, terutamanya kepada ibu dan bapa kita dan saudara mara kita. Pada rakan-rakan juga tidak ketinggalan.

Hendak menangis ? Silakanlah. Tiada salahnya lelaki menangis. Tiada celanya perempuan menangis. Semuanya menggugurkan dosa-dosa kita. Insya Allah. Percayalah, jiwa berasa tenang selepas meminta maaf.

Kalau selepas itu hendak bergambar beramai-ramai, silakan. Tiada salahnya.

Ziarah

Ha, hal ini memang dikira syarat dalam meraikan Syawal. Nabi juga berbuat demikian, iaitu berziarah.

Kita boleh berziarah ke rumah saudara mara, rakan-rakan dan sesiapa sahaja. Duit raya, itu dikira hadiah. Tidak mengapa.

Namun, berhati-hati ketika menjamu selera. Jangan sampai perut tidak muat lagi hendak memasukkan makanan.

Budaya berziarah ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita.

Kita juga boleh berziarah ke kubur dan mendoakan mereka yang telah meninggal dunia.

Ya, Syawal itu sememangnya rahmat Tuhan kepada kita. Justeru, wajarlah kita bersyukur dan memuliakan Syawal dengan perkara yang baik. Jangan kita teriku-ikut rentak mereka yang gilakan hiburan ketika Syawal dan membuatkan punggung kita tidak lekang daripada kerusi demi untuk menonton televisyen sampai terkeluar biji mata.

Syawal dirai dengan kesyukuran...

Tuesday, September 22, 2009

UNTUK SEKETIKA

...Berterima kasihlah kepada mereka yang membahagiakan anda. Walaupun. Seketika.

Kerana seketika itu adalah kurnia daripada Tuhan buat kita yang namanya manusia. Tidak selalu kita akan merasa bahagia.

Jadi, sekiranya datang manusia lain dalam hidup anda yang membuatkan anda merasa bahagia, maka berterima kasihlah. Biarpun dari dalam hati. Biarpun ianya selemah-lemah jiwa.

Kerana berterima kasih itu adalah amalan mulia.

Berterima kasihlah mampu meruntuhkan ego anda. Semoga anda menjadi manusia yang merendah diri dan menghargai orang lain.

wallahua'lam.

Sunday, September 20, 2009

FITRAH

Setelah beberapa lama menyambutnya, sekarang barulah saya mulai faham mengapa dinamakan hari raya ini sebagai aidilfitri.

Ertinya hari raya fitrah.

Fitrah ?

Baiklah. Sebelum itu kita berpuasa dalam bulan Ramadhan. Kita dituntut supaya membersihkan diri kita daripada dosa-dosa sepanjang bulan Ramadhan. Dan Tuhan itu Maha Pengampun.

Justeru, kembalilah kita kepada keadaan fitrah. Suci. Bersih.

Maka aidilfitri itu sebagai meraikannya. Dengan cara yang betul, tentunya.

Oleh itu, mereka yang tidak memohon ampun kepada Tuhan saat Ramadhan tidak layak menyambut aidilfitri.

Wednesday, September 16, 2009

MESIN MASA

Saya pernah menonton filem Back to the future, Doraemon dan banyak lagi filem atau drama mahupun kartun yang memaparkan mengenai mesin masa di mana kita boleh mengundur ke zaman lalu sekiranya kita menggunakan mesin masa.

Seolah-olahnya mereka yang pernah hidup lama dahulu tidak mati, tetap hilang ditelan zaman ataupun lenyap bersama-sama zaman.

Tertanya-tanya juga saya,

Jikalau betul mesin masa boleh dihasilkan, bolehkah kita bertemu dengan para nabi terdahulu, termasuklah nabi kita Muhammad s.a.w ?

Ha...

Tentulah Tuhan tidak mengizinkan hal seperti itu berlaku, bukan ? Sungguhpun Dia boleh melakukan walau perkara yang paling mustahil dalam alam ini pun.

Sunday, September 06, 2009

POKOK



Seperti yang saya katakan, pedulikan seketika pemikiran politiknya. Hayatilah pesan-pesan yang baik. Yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan.

Terima kasih kepada saudara Amir Muhammad.

PENGARUH...?

Saya sendiri hairan.

Entah kenapa bila saya menulis dalam blog Da...Di...Du..., corak penulisan bertukar. Bila saya menulis dalam blog ini, corak penulisan saya juga bertukar.

Adakah kerana pengaruh ?

Maksud saya, tajuk yang saya berikan pada blog saya itu yang mempengaruhi apa yang akan saya tulis ?

Agaknya.

Pena Menulis semacam ilmiah atau 'skema' sedikit.

Manakala Da...Di...Du... pula semacam lebih jujur dan kadangkala sinis pula.

Namun, yang pastinya, kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan.

Pena Menulis saya mulakan ketika saya tidak tahu apa-apa pasal blog.

Da...Di...Du... pula saya mulakan ketika saya sudah ada semacam 'keberanian' untuk lebih jujur dan tidak bermuka-muka.

Senangnya bila kita menulis dan terasa ada beban yang terlerai dengan menulis. Menulis itu ada 'kuasanya' sendiri.

Jika kita jadikan blog ini sebagai diari kehidupan, kita akan menemukan beberapa peristiwa yang tidak dijangka-jangka singgah dalam kehidupan kita.

Jika kita jadikan blog ini sebagai medan perbahasan atau perdebatan, kita akan dapati banyak cetusan pemikiran yang baru.

Jika kita jadikan blog ini sebagai alat untuk memfitnah (ini tidak beretika sama sekali), kita akan dapati bahawa blog ini amat berkuasa sekali.

Jadinya, kepada kawan-kawan yang hendak memulakan blog mereka, selamat menulis. Hehehe.