Nuffnang

Wednesday, March 31, 2010

GOLEK JONGGOL SI NENEK...


Berbaringan di atas tanah bukanlah kegemaran 'dia'. Namun ketika entah tersadung apa benda, 'dia' tersungkur di atas tanah berbatu itu.

Luka sikunya.
Luka tapak tangannya.
Luka lututnya.
Koyak sedikit kulitnya.

Lalu 'dia' menangis. menangis semahu-mahunya.

KOMA

Nenek masih cuba menggagahkan diri untuk bangun mengambil wudhuk untuk bersolat, meskipun anak-anaknya dan juga cucu-cucunya boleh mengambil air sebaldi untuknya berwudhuk di bilik sahaja. Namun, dasar orang tua yang tahu erti kepayahan, tidak mahu dia menyusahkan anak-anaknya.

Badannya terlayah ke kiri ke kanan ketika melangkah ke bilik air. Bilk air baru dibersihkan semahu-mahunya supaya latainya tidak licin kerana lumut atau apa saja lapisan yang melekat padanya.

Wudhuknya tenang.
Solatnya tenang.

KOMA

Lama dahulu Pak Usu pernah menceritakan betapa garangnya nenek ketika muda dahulu. Pernah diikatnya Pak Usu itu di sebatang pokok rambutan yang banyak kerengga hanya kerana pulang ke rumah pada waktu maghrib dek kerana leka bermain basikal dengan kawan-kawan sekampung.

Aduh, kalaulah budak-budak sekarang yang lembik dan terlalu manja itu kena hukuman macam itu, pasti sudah lari dari rumah.

Namun, Pak Usu dan kakak-kakaknya tak pernah terfikir pun hendak memalukan emak mereka iaitu nenek 'dia' itu. Padahal puas kena pukul mahupun cubitan yang menyakitkan. Hampir diterajang emak 'dia' kerana membuat bising saat nenek sedang mengaji. Pantang betul orang tua itu jika dia sedang mengaji orang membuat bising. Budak-budak sekarang ? Tengah azan pun masih boleh melalak melolong dengan lagu entah apa-apa. Perasaan hormatkan azan mahupun orang sembahyang ataupun orang mengaji langsung tidak ada.

KOMA

Nenek menghidap penyakit mata. Matanya sudah tidak nampak lagi. Pernah dia melalui pembedahan untuk merawat korneanya yang rosak. Namun, hanya sekadar pembedahan pertama. Untuk pembedahan susulan, nenek sudah malas. Dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. 'Dia' juga sedikit takut melihat mata neneknya yang merah menyala itu. Risau dibuatnya.

KOMA

'Dia' dahulu dibela oleh nenek untuk beberapa ketika kerana emak dan ayahnya bekerja. Makanya, hubungannya dengan nenek cukup rapat. Suapa nasi nenek, urutan badan nenek, pangkuan riba nenek dan dodoian nenek amat melekat dalam jiwanya. 'Dia' tidak mahu berpisah dengan nenek, meskipun emak dan ayahnya sudah pulang kerja. Mujurlah emaknya berhenti kerja kemudiannya. Barulah 'dia' dapat dijaga elok-elok oleh emak dan ayahnya. Nenek selalu berpesan kepada emaknya supaya suburkan jiwa anak-anaknya dengan ketenangan, bukan kekalutan mengejar duniawi.

KOMA

Membesar sebagai budak lelaki memanglah mencabar. Semua benda hendak dicuba. Kalau ikut perangai budak kampung, makanya menangkap anak ayam, mengejar kucing bagai nak rak dan memancing sampai hitam kuku adalah perkara yang sering dilakukan. 'Dia' pernah merasa semua itu. Luka-luka meredah belukar untuk mencari terung belanda untuk peluru senapang kayu langsung tidak dikisahkan. badan berbirat disebat emak kerana selalu pulang lewat langsung tak peduli.

Namun, suatu hari...

KOMA

'Dia' menangis tidak berhenti. Entah sakitnya macam apa ketika tersungkur itu. Padahal selama ini badannya sudah puas merasa macam-macam kesakitan yang biasa dirasai anak-anak kecil dalam dekad awal 90-an.

Dia masih berbaringan di atas tanah dalam keadaan meniarap. Menangis lagi.

Peluru pistol mainannya bertaburan keluar daripada kocek seluarnya.

Dan ketika itulah, nenek yang dikasihi mencampakkan sesuatu dari muka pintu dapur kayu itu.

GOLEK JONGGOL yang kelihatan tua. Diperbuat daripada kayu entah apa.

Dibaling begitu, namun ia tidak jatuh, bahkan terus duduk tegak. semacam ada kuasa ghaib yang mengawal golek jonggol itu.

'Dia' lantas menoleh. Melihat nenek dengan 'koyok' tertampal di kedua-dua hujung dahinya, 'dia' bingkas bangun mendapatkan neneknya sambil membawa golek jonggol itu.

"Kenapa nenek bangun, kan nenek demam ?"

Nenek hanya tersenyum tawar.

"Macam mana nenek nak baring kalau dengar kamu menangis ?"

'Dia' hanya memandang neneknya kehairanan.

"nek, apa benda ni ?"

Golek jonggol itu dibelek-beleknya.

Nenek ketawa kecil.

"Ini mainan kayu yang takkan jatuh kalau dibaling ke mana pun. Kalau dibaling ke tanah, dia akan terus duduk." Nenek menerangkan sambil berbaring semula ke katilnya yang diperbuat daripada besi itu. Katil lama 70-an.

Nenek mencampakkan lagi golek jonggol itu. Ya, seperti ada kuasa ghaib, ia bangun dan duduk semula.

"Kamu mesti jadi macam benda ni..."

'Dia' semakin pelik. Mahu jadi seperti mainan ke ?

"Kalau kamu jatuh, kamu mesti bangun semula. Jangan tahu menangis aje. Kamu mesti cari jalan nak bangun semula. Jangan buat emak dengan bapak kamu menangis bila kamu jatuh dan kamu tak tahu nak bangun semula..."

Sungguh.
Meskipun umurnya baru sahaja 5 tahun, namun apa yang neneknya sampaikan itu meresap dalam hatinya baik-baik.

'Dia' mendakap neneknya erat-erat sambil mencium pipi neneknya yang sudah berkedut itu.

Luka di badannya sudah tak terasa, kerana sudah diubati dengan pesan seorang nenek yang kaya jiwa...

Demi Allah yang memegang jiwanya.
Dia akan menjadi seperti si golek jonggol...


P/s: Entri ini ditujukan khas buat anda yang menyayangi nenek anda...kepada mereka yang sudah kehilangan nenek, al-Fatihah...

Thursday, March 25, 2010

...KU SAMBUNG TULISAN IBUKU...


Lama dahulu, aku mengenal ibuku sebagai seorang yang teramat mulia. Dia menggalas kerja-kerja seorang ibu dengan penuh keikhlasan seperti tidak ada yang terbeban padanya melainkan semuanya merupakan kemuliaan seorang ibu.

Ibu telah memelihara saya, ayah saya dan adik saya dengan baik sekali. Saya tidak berani untuk menuduh dia tidak pernah berbuat apa-apa untuk saya, padahal saya telah menumpang di dalam perutnya untuk jangka masa yang agak lama. Bayangkanlah beban yang ditanggungnya ketika itu. Layakkah saya memarahinya jika dia tidak mampu untuk menunaikan beberapa permintaan saya ?

Tidak sama sekali.saya hanyalah seorang anak.
Saya wajib mentaati ibu saya.

KOMA

Ibu saya suka menulis. Entah apa yang dia tuliskan, saya tidak tahu. Mulanya saya tidak mahu ambil tahu, kerana beranggapan itu adalah hobinya yang saya tidak patut ganggu sama sekali. Namun, saya merasakan yang kegemarannya itu semacam meresap ke dalam jiwa kami semua. Kami seolah-olah merasakan ada satu beban yang pergi satu demi satu dari keluarga setiap kali dia menulis.

Apakah dia menulis azimat ?
Apakah dia menulis sebuah jampi serapah ?apakah dia melukis rajah untuk pengubatan jiwa ?
Saya tidak tahu hal itu.
Yang penting, dia memang suka menulis.

Namun begitu, penulisan ibu rupa-rupanya cuba melindungi kesakitan dirinya. Ibu sedang sakit. Dan saya amat sedih sekali.
Teramat sedih.
Namun ibu masih tersenyum ceria.
Inilah ibu yang hakiki.
Yang menerima takdir Tuhan dengan redha.
Pahala menggunung mendatangi dirinya sehinggakan tiada apa yang ada pada dirinya melainkan ketenangan yang penuh misteri.
Saya mengagumi kecekalan ibu.Ya, kecekalan ibu itu kadangkala melebihi kekuatan ayah.
Ibu bahkan lebih tahu perihal anak-anaknya.
Itulah kelebihan yang Tuhan berikan pada seorang ibu.
Sebab itulah saya merasakan yang amatlah bodoh bagi seorang perempuan yang tidak mahu menjadi ibu. Padahal Tuhan menyediakan banyak kurniaan pahala kepada seorang ibu, bermula daripada mengandungkan kita sehinggalah kita dewasa.

Justeru, apabila ibu sudah sakit, saya merasa terbeban sekali. Saya tidak mahu ibu pergi dengan kesakitan yang dirasai. Saya mahu ibu tenang dengan kebahagiaan yang saya berikan, meskipun saya hanyalah seorang anak yang tidak punya apa-apa pun.

Saya menitiskan air mata apabila melihat seorang anak kecil memberi hadiah berupa kotak kosong kepada seorang ayah yang baran. Ayahnya hampir memukulnya kerana menyangka yang anaknya mempersendakannya. Namun, rupa-rupanya anaknya tidak ada duit hendak membeli hadiah, lalu kotak kosong berbalut indah itu sahajalah yang menjadi penggantinya. Luluhlah hati ayah itu dan menangislah si ayah itu semahu-mahunya lalu memeluk anak perempuannya yang satu itu.
Itu cerita orang.
Bagaimana dengan saya ?
Apa ikhtiar saya demi membahagiakan ibu yang sedang bertarung dengan penyakit berbahaya ?

Doa.
Itu adalah satu cara yang nabi ajarkan kepada umatnya. Makanya, saya sentiasalah berdoa agar Allah mempermudahkan jalan kehidupan yang tersisa buat ibu saya.

Saya berdoa agar ibu saya sentiasa tenang.
Saya berdoa agar ibu saya sentiasa gembira.
Saya berdoa agar ibu saya menjadi kuat.
saya berdoa agar ibu saya pergi ketika saya ada di sisinya.

KOMA

Kubur itu masih basah dengan siraman air mawar segar.

Dan saya masih menangis.
Ayah masih berduka.
Adik masih mengesat air mata.

Ibu sudah tiada.

Saya mengemaskan barang-barang milik ibu.
Saya tidak mempedulikan barang-barang kemasnya mahupun beg tangannya ataupun tudung serta bajunya.

Apa yang saya tumpukan di sini adalah hasil penulisannya.

Saya terjumpa helaian-helaian syair indah yang memuji Tuhan dan nabi.
Saya menemukan sajak-sajak keberanian.
Saya menemukan cerita-cerita pendek tentang pengorbanan.
Dan saya menemukan diari ibu yang kusam, namun amat bererti...

Judulnya INI RAMADHANKU YANG TERAKHIR.

Saya tidak mengerti punca arwah ibu memilih tajuk itu.
Namun pengisiannya adalah tangisan buat saya.
Masakan saya boleh ketawa melihat tulisan jerih-perih seseorang yang sudah tiada.
Sedang saya tersenggut-senggut menahan tangis saat mengaji al-Quran, begitulah juga saya tersedu-sedu menangis tatkala membaca diari ibu...

Diarinya tidak sempat dihabiskan.
Dan demi Allah, saya menyambungnya kembali, atas nama ibu...yang tercinta...

P/s: Saya dedikasikan entri ini buat seorang rakan yang sudah kehilangan ibunya. Semoga Allah merahmati roh ibunya. Al-Fatihah...

Wednesday, March 24, 2010

APABILA PERSAHABATAN DISUCIKAN...


Bertasbihlah alam memuji Tuhan...
Betahmidlah alam mensyukuri Tuhan...
Bertakbirlah alam mengesakan Tuhan...

Menjerit kemarahanlah syaitan-syaitan yang merosakkan persahabatan.

Jiwa-jiwa murni itu sedang cuba menyucikan sebuah hakikat. Hakikat yang dibentuk dari sebuah keyakinan...

Bahawa tidak sempurna sebuah keimanan sekiranya manusia itu tidak mengasihi manusia lain seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri...

Manusia-manusia tahu itu. Dan syaitan tahu benar jika manusia benar-benar berpegang kepada itu, kejahatan akan dikalahkan. Kepalsuan akan dimusnahkan. Kemaksiatan akan dijahanamkan. Untuk itu, berusahalah para syaitan yang dilaknat Allah Taala untuk merosakkannya.

"Manusia tidak boleh berbaik-baik !!!"

"Manusia mesti bergaduh, bercakaran dan berperang !!!"

"Manusia tanpa semua itu adalah sebuah kedamaian ! Manusia dengan kedamaian adalah petanda bahawa manusia akan tenang beribadah kepada Tuhan !"

Itu tidak boleh berlaku !

Kasih sesama manusia mesti dirosakkan ! Sayang sesama manusia mesti dihancurkan !
Mereka tidak akan berbaik-baik semula !
Dengan itu, mereka akan mula menyalahkan Tuhan !
Apabila mereka mula menyalahkan Tuhan, mereka tidak akan mahu lagi menyembah Tuhan !
Mereka akan mengatakan bahawa Tuhan itu tiada sama sekali !
Itulah puncak kejayaan hasutan syaitan yang durjana, dengan meyakinkan bahawa Tuhan itu tiada dan tidak berguna untuk disembah !

Namun, Tuhan itu Maha Kuasa. Diberikan satu senjata pada hamba-hamba-Nya, demi melawan kejahatan iblis dan syaitan yang durjana.

DOA.

Apabila manusia mula berdoa, itu petanda bahawa manusia senantiasa memerlukan Tuhan. Senantiasa perlu berdampingan dengan Tuhan.

Manusia yang berdampingan dengan Tuhan tidak akan cuba merosakkan hubungan persahabatan. Mereka akan menjaga persahabatan. Mereka akan menyucikan persahabatan. Persahabatan mereka bukan lagi atas dasar nafsu serakah, bahkan persahabatan mereka adalah atas dasar ketaatan kepada Tuhan.

Mereka akan saling menasihati. Mereka akan saling suka-menyukakan. Mereka akan saling bermaaf-maafan.

Keindahan seperti itu, tiada siapa yang benci melainkan syaitan yang direjam...

Kalaulah ada juga manusia yang benci dengan sebuah keindahan persahabatan, makanya manusia itu sendiri sudah terikut dengan hasutan syaitan.

Maka orang-orang inilah akan mula merosakkan segala-galanya. Alangkah sedihnya kalau orang seperti ini merupakan rakan kita sendiri. Alangkah...

Ketahuilah bahawa orang-orang Islam itu bersaudara. Barangsiapa memutuskan tali persaudaraan, Allah melaknat mereka. Itukan bala namanya.

Takkan mahu hidup dengan bala ?
Kita tidak mahu hidup dengan bala Tuhan.
Kita hendak hidup dengan cinta Tuhan.
Dan Tuhan itu cinta pada manusia yang berkasih sayang atas nama-Nya.
Dengan itu, persahabatan suci dapat dibentuk.

Demikianlah halnya,
apabila persahabatan disucikan semula...

Wallahua'lam...

Saturday, March 20, 2010

44 HARI DISEKSA ' IBLIS' (BUAT JUNKO FURUTA)

Serasa mahu muntah.
Amat payah sekali untuk menerima kisah ini sebagai sebahagian daripada kekejaman manusia.

JUNKO FURUTA

Perempuan malang ini berumur 16 tahu saat beliau diculik oleh sekumpulan lelaki bangsat dan celaka dan disembunyikan di dalam sebuah rumah milik ibu bapa salah seorang penculik itu.

Segala-galanya bermula apabila perempuan ini disuruh untuk menghubungi ibu bapanya bagi mengatakan kononnya beliau telah melarikan diri dari rumah dan selamat bersama seorang 'kawan'. Tujuan mereka berbuat demikian bagi mengelakkan usaha mencari perempuan ini dijalankan. Salah seorang penjenayah itu juga menipu tuan rumah itu dengan menyatakan yang perempuan itu adalah teman wanita salah seorang rakannya apabila tuan rumah itu ada di rumah tersebut. Namun begitu, apabila mereka sudah pasti yang tuan rumah itu tidak akan menghubungi polis, mereka berhenti membuat dalih seperti itu.
Amat kasihan sekali kepada Junko Furuta kerana beliau telah cuba beberapa kali untuk melarikan diri dan juga meminta bantuan daripada tuan rumah itu, malangnya mereka tidak mahu membantu kerana takut dengan salah seorang penculik yang merupakan seorang yakuza. Mereka takut sekiranya penjenayah itu akan menggunakan pengaruh yakuza untuk membunuh sesiapa yang mengganggu kerjanya.
Apa yang mereka lakukan terhadap perempuan ini sepanjang perempuan itu ditahan di dalam rumah tersebut ?

Penjenayah 1

Begini rentetannya:

Hari pertama (22 November 1988):

  • terus ditahan di dalam rumah tersebut, dan dipaksa berpura-pura menjadi teman wanita salah seorang penjenayah celaka itu.
  • Diperkosa lebih daripada 400 kali (nauzubillah...)
  • dibiarkan kelaparan dan kekurangan nutrisi.
  • Dipaksa untuk meminum air kencingnya sendiri dan memakan lipas (apa kena sama penjenayah ini ???)
  • dipaksa masturbasi.
  • Dipaksa berbogel.
  • Tubuhnya dicederakan dengan bara api rokok.
  • Memasukkan benda asing ke dalam kemaluannya dan duburnya.
Seksaan masih berterusan...

Hari ke-11 (1 Disember 1988) :

  • Dipukul banyak kali pada tubuhnya.
  • Mukanya diletakkan di atas simen lalu dihentak.
  • Tangan diikat pada siling dan diperlakukan seperti 'punching bag'.
  • Hidung dipenuhi darah sehingga dia terpaksa bernafas melalui mulut.
  • 'Dumbbells' dihentak ke atas perutnya.
  • Muntah-muntah apabila meminum air kerana perutnya tidak boleh menerimanya.
  • Cuba untuk melarikan diri lalu didera pula dengan mencucuh api rokok pada lengannya.
  • Cecair pemetik api dilumurkan pada kakinya lalu dibakar.
  • Botol dimasukkan ke dalam duburnya.
Penjenayah 2

Hari ke-20, 10 Disember 1988 :

  • Tidak dapat berjalan dengan baik kerana kakinya dibakar.
  • Dipukul dengan buluh.
  • Mercun dibakar di dalam duburnya.
  • Tangan dihentak dengan pemberat besi lalu kukunya pecah.
  • Dipukul dengan kayu golf.
  • Rokok dimasukkan ke dalam kemaluan.
  • Dipukul berulang kali dengan batang besi.
  • Apabila musim sejuk, dipaksa tidur di balkoni.
  • Tulang ayam panggang dimasukkan ke dalam kemaluan dan duburnya lalu menyebabkan pendarahan.
Penjenayah 3

Seksaan semakin dahsyat.

Hari ke-30 :

  • Muka dicurahkan dengan lilin panas.
  • Kelopak mata dibakar dengan pemetik api.
  • Dada ditusuk dengan jarum.
  • Puting buah dada kiri dipotong dengan playar (pliers).
  • 'Bulb' lampu yang panas dimasukkan ke dalam kemaluan.
  • Pendarahan kemaluan yang teruk kerana dimasuki gunting.
  • Tidak dapat membuang air dengan betul.
  • Kecederaan yang amat teruk membuatkannya mengambil masa sejam hanya untuk ke bilik air.
  • Gegendang telinga rosak.
  • Pengecutan saiz otak (saya tidak tahu apa puncanya).
Penjenayah 4

Kemucak seksaan yang ditanggung....

Hari ke-40 :

  • Junko merayu agar dibunuhnya sahaja dan selesailah semuanya.
  • Pada 1 Januari 1989, tahun baru disambut oleh Junko dengan kesakitan yang tidak tertanggung dan mengerikan malah keseorangan.
  • Tubuh sudah tidak dapat berfungsi dengan baik lagi.
Hari ke-44 :

  • Para penjenayah itu merosakkan badannya dengan 'iron barbell' dengan alasan kalah bermain mahjong.
  • Pendarahan yang banyak daripada mulut dan hidungnya.
  • Mereka mencucuh api lilin pada matanya dan mukanya.
  • Kemudian, cecair pemetik api dicurah pada kakinya, tangannya, mukanya dan perutnya, lalu dibakar.
  • Seksaan terakhir itu berterusan selama 2 jam.

Pada keesokan harinya, dia didapati telahpun meninggal dunia, dalam keadaan yang cukup mengerikan. Entah apa yang dapat dibandingkan dengan seksaan selama 44 hari itu. Sudahlah begitu, mayatnya dimasukkan ke dalam tong lalu dicurahkan dengan konkrit sebelum ditanam.

PENGADILAN

Para penjenayah itu ditangkap dan dibicarakan sebagai orang dewasa yang melakukan jenayah. Namun begitu, disebabkan mereka masih dikategorikan juga sebagai kes juvana, maka identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah.

Kawasan di mana mayat Junko ditemui

Walaupun begitu, sebuah majalah tempatan mingguan yang berjudul Shukan Bunshun melaporkan juga nama mereka, dengan beralasan 'Hak asasi manusia tidak diperlukan untuk perbuatan sekejam itu'. Nama sebenar Furuta turut dilaporkan dengan banyaknya di media.

Keempat-empat penjenayah itu mengaku bersalah atas tuduhan yang telah dikurangkan iaitu 'melakukan kecederaan yang membawa kepada kematian', bukan pembunuhan.

Salah seorang penjenayah tersebut yang bernama Kamisaku diadili sebagai ketua bagi jenayah yang dilakukan itu dalam sidang rasmi yang dijalankan.


Kamisaku dipenjarakan selama 8 tahun sahaja dan kemudian dibebaskan.
In July 1990 a lower court sentenced the leader to seventeen years in prison. The court sentenced one accomplice to a four to six year term, one accomplice to a three to four year term, and another accomplice to an indefinite five to ten year term. The leader and the first two of the three appealed their rulings. The higher court gave more severe sentences to the three appealing parties. The presiding judge, Ryuji Yanase, said that the court did so because of the nature of the crime, the effect on the victim's family, and the effects of the crime on society. The leader received a twenty year sentence, the second highest possible sentence after life imprisonment. Of the two appealing accomplices, the one that originally got four to six years received a five to nine year term. The other accomplice had his sentence upgraded to a five to seven year term. (WIKIPEDIA)

Junko's parents were dismayed by the sentences received by their daughter's killers, and enjoined a civil suit against the parents of the boy in whose home the crimes were committed. When some of the convictions were overturned on the basis of problematic physical evidence (the semen and pubic hair recovered from the body did not match those of the boys who were arrested), the lawyer handling the civil suit decided there was no case to be made and refused to represent them further. (WIKIPEDIA)

Demikianlah sebuah kekejaman berakhir dengan hukuman yang pada hemat saya tidak setimpal. Mereka patut dihukum mati. Sebelum dihukum mati, mereka patut diseksa seperti mana mereka menyeksa perempuan itu.

Berdoalah kita kepada Allah agar dilindungi daripada mereka yang kejam seperti ini. Sentiasalah berwaspada dengan keadaan sekeliling. Peristiwa ini berlaku dalam tahun 80-an. Bayangkan saja ketika itupun sudah berlaku kekejaman tidak masuk akal seperti ini, apatah lagi tahun 2010 sekarang ini. Tidak mustahil boleh berulang semula. Malah mungkin lebih kejam daripada ini.

JUNKO FURUTA dalam kenangan... (1972-1989)

Sunday, March 14, 2010

MUNAJAT TERAKHIR SEORANG SAHABAT...

"Selamat datang wahai kematian! Selamat datang kepada tetamu yang tak kunjung tiba dan selamat datang kepada kekasih yang datang setelah sekian lama dirindukan!".

Kemudian beliau melihat ke langit dan berkata:

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku tidak menyukai dunia apatah lagi untuk berada kekal di dalamnya selama-lamanya menanam pokok-pokok dan mengairi sungai, tetapi segala-galanya itu hanyalah sekadar untuk menghilangkan kehausan di kawasan-kawasan yang kekeringan serta mengharungi saat-saat kesusahan dan mendekati ulama-ulama dengan menunggang ke majlis-majlis zikir. Oleh yang demikian terimalah diriku ini wahai Tuhanku dengan kebaikan sebagaimana Kamu menerima diri seseorang yang beriman".

Puncak munajat dengan Sang Kekasih itu diakhiri dengan rohnya dijemput pulang.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah...

Siapakah sahabat ini...???

Beliaulah Muaz Bin Jabal, sahabat Nabi Muhammad s.a.w. seorang yang alim tentang Al-Quran. Kecintaannya kepada nabi bukan kepalang. Pemergiannya diiringi dengan tangisan dan kepulangannya diiringi dengan tangisan.

*Munajat sahabat ini disalin oleh isterinya sendiri...

Saturday, March 06, 2010

KEMBARA ROHANI - DARI MULA KE MULA


Izinkan saya memulakan entri kali ini dengan selawat...

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad, wa 'ala ali sayyidina wa mawlana Muhammad...

Saya terpanggil ataupun kata orang seakan-akan diberi ilham daripada seorang rakan blogger untuk menulis sesuatu yang saya kira besar juga ertinya, meskipun kalau dibaca kelihatannya seperti diulang-ulang. Namun, apa salahnya perkara yang baik itu diulang-ulang, kan ?

Ini cerita tentang rohani. Kembara rohani.

Kalau bercerita tentang sebuah kembara itu, tentunya ia sebuah perjalanan yang panjang. Dari satu titik ke satu titik yang lain, itu tetap dikira panjang. Meski jarak fizikan hanya sekitar 1-2 tahun. Namun jarak hakikinya mungkin hampir melebihi beberapa masa. 'Masa' di sini bolehlah diertikan sebagai jiwa kita dalam menerima kebenaran mahupun kepalsuan. Kebenaran dan kepalsuan itu dah cuba disematkan oleh dua entiti ghaib ke dalam diri kita sejak kita kecil dahulu.

Kalaulah ibu bapa kita tidak menjaga kita baik-baik, nyatalah kepalsuan akan menang. Namun, jika ibu bapa kita menjaga kita dengan memenuhi tuntutan agama ke atas ibu bapa terhadap seorang anak, maka kebenaran akan menang. Hal inilah yang saya ertikan sebagai 'masa jiwa'. Perpindahan dari jiwa ibu bapa kepada kita sebagai anak dalam mencari kebenaran kehidupan itu sudah lama. Apabila ibu dan bapa kita dicipta Tuhan sebagai lelaki dan perempuan, mereka sudah dilatih oleh ibu bapa mereka pula untuk mencari kebenaran rohani. Lalu mereka bawa diri mereka baik-baik dengan berpegang kepada didikan yang diasuh ke atas mereka. Jika didikan yang baik dan ikhlas, maka penyudahnya baiklah, itupun jika kita tahu menghargainya.

Baiklah, apabila Tuhan mempertemukan lelaki dan perempuan ini, lalu mereka pun berkahwin. Dari situ, satu kembara lain bagi diri mereka bermula, iaitu sebagai suami isteri. Mereka mendidik diri antara satu sama lain supaya mereka mengetahui yang manakah kebenaran rohani bagi sepasang suami isteri. Apakah sekadar seronok menikmati alam rumahtangga ataupun ada lagi rahsia yang teramat besar dalam perkahwinan yang perlu mereka cari. Itu kembara mereka sebelum lahirnya kita.

Apabila mereka bersenggama demi tuntutan batiniah mereka, mereka rupa-rupanya sedang mempersiapkan satu lagi bahagian kembara rohani besar dalam hidup mereka, iaitu memiliki anak.

Apa kata agama kita tentang seorang anak ?

'Anak itu adalah amanah Allah.'

Dengan izin Tuhan, lahirlah kita setelah ibu kita menanggung 'kembara pendek' iaitu 9 bulan 10 hari. Dalam kembara pendek itu, ibu bapa kita wajib mempersiapkan diri mereka untuk menyambut kita dengan memperbanyakkan amal ibadah kepada Tuhan. Nah, itu bukan sekadar atas nama ibu bapa, tetapi juga atas nama diri mereka sebagai seorang hamba kepada Tuhan. Itu kembara mereka dan semua manusia di dunia. Dan mereka akan 'mewariskan' kembara rohani itu kepada kita, yang akan dilantik Tuhan untuk memegang 'jawatan' sebagai seorang anak. Mana mungkin kita keluar dari perut ibu kita lalu 'menjawat jawatan' ayah ataupun ibu ? Kita akan menjadi anak. Meski orang meramal apa pun tentang kita seperti mana masyarakat dahulu meramal kelahiran nabi junjungan, ianya masih kembara yang jauh, dan berliku-liku.

Apabila membesar dalam jagaan ibu dan ayah kita, kita diajar supaya bersiap-sedia dengan sebuah lagi kembara rohani. Kembara rohani itu untuk kita, atas nama ibu dan ayah kita, atas nama Nabi Muhammad s.a.w dan juga demi Allah. Kita akan bersedia menghadapi kembara itu sesuai dengan cara ibu dan ayah kita mendidik kita, sesuai dengan cara bagaimana ibu dan ayah kita mentaati ajaran agama dan sesuai dengan cara bagaimana ibu dan ayah kita mencintai Tuhan.

Katakanlah ibu dan ayah kita terlalu mencintai dunia sehingga Tuhan dibelakangi, maka kelak kembara kita bakal menjadi begitu. Kita akan mengembara mencari duniawi. Kita tidak akan mahu mencari rohani kerana saki-baki 'ketaatan' ibu dan ayah kita pada duniawi itu telah diserap dalam diri kita juga.

Apabila kita mencapai usia baligh, di mana kita sudah tahu menilai mana yang baik dan buruk, kita akan berdepan dengan kembara kita yang sebenar-benarnya. Ketika ini, akan ada kepalsuan yang mendatang dan akan ada kebenaran yang menyinggah. Yang palsu itu datangnya daripada syaitan, dan yang benar itu datangnya daripada malaikat. Kedua-duanya akan cuba masuk dalam hati kita, di mana kelak ia akan memberi kesan kepada kembara rohani kita.

Kita akan berjalan...berjalan...berjalan...
Kita akan berjumpa dengan kesenangan....dan kesusahan...
Kita akan ketawa....dan kita akan menangis...
Kita akan berjaya...dan kita akan kecewa...
Kita akan jujur...dan kadangkala kita juga akan berdusta...
Kita akan kasih...dan kadangkala kita juga akan benci...
Kita akan diberi macam-macam pilihan...dan kita akan termangu-mangu hendak memilihnya...
Kita akan beroleh pahala...dan kita juga berhadapan dengan banyak dosa...
Kita mahu memilih syurga...namun kita juga banyak beramalan seperti ahli neraka...
Kita mahu taat kepada Tuhan...namun kita akan banyak lalai dengan perkara yang menjauhkan kita dengan Tuhan...

Itu kembara kita, yang bersambungan daripada ibu dan ayah kita yang juga pernah menjadi seperti kita, sebagai seorang lelaki mahupun perempuan.

Itulah legasi yang diperturunkan kepada kita, demi menempuhi sebuah kembara rohani yang kita harapkan berpenghujung dengan kebaikan dan ketenangan.
Namun, jangan kita lupa.

Kembara kita bermula tetapi bukannya berakhir dengan penghujung...

Sebaliknya kembara kita bermula demi menempuhi satu lagi permulaan...
Iaitu alam keabadian...
Di mana hala tuju kembara kita bakal menentukan kita mahu hidup di dalam alam keabadian yang mana satu.

SYURGA atau NERAKA ?

Kita mahu yang mana ?
Kembara kita rasa-rasanya mahu menuju ke mana ?
Benarkah kita yakin akan ke syurga ?
Atau mahukah kita singgah sebentar ke neraka kemudian masuk dalam syurga ?

Kita kadangkala tidak tahu pun.
Kita kadangkala tidak sedar pun.

Kita dahulunya bermula dengan kebaikan. Namun, tiba-tiba di pertengahan, kita kalah dengan kepalsuan.

Mulalah kita meninggalkan hakikat kebenaran. Kita mula mencintai kepalsuan.

Kita mula mencintai dosa.
Dosa itu ada banyak.
Pahala itu juga ada banyak.

Namun, seperti yang diceritakan, syaitan akan memperlihatkan dosa itu kelihatan sungguh megah dan menawan untuk dilakukan.

Zina.
Membuka aurat.
Merpati dua sejoli haram.
Judi.
Arak.
Disko.
Seks.
Lagu-lagu lagha (cinta dunia, kecelaruan dan mempersoalkan hakikat ketuhanan).
Tarian yang mengghairahkan.
Berkelahi.
Berdendam.
Bermuka-muka.
Murtad.
Tatu di badan.
Menyerupai jantina lain.
Dan lain-lain.Ini semua akan digambarkan oleh syaitan sebagai sesuatu yang amat menyeronokkan untuk dilakukan. Dan jika kita mengembara tanpa ilmu dan iman, maka kita akan tertipu dengan keindahan palsu ini. Padahal jika menyedarinya, ianya sesuatu yang teramat jijik untuk dipandang apatah lagi dilakukan.

Itulah kepalsuan dalam kembara rohani.

Apa pula kebenaran ?
Ada banyak sekali.

Kebenaran paling jitu adalah mentaati perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Dan juga mencintai baginda Nabi Muhammad s.a.w dan keturunan ahli keluarganya kerana telah dijanjikan Allah bahawa jika kita tidak mahu selamat, maka kita ikutlah nabi sebagai contoh dan panduan kita.

Benar.

Kembara kita perlu dipandu. Dan panduan itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Nabi adalah contoh teladan yang sangat mulia. Maka kembara rohani kita menjadi mulia jika kita mengikuti sebuah kebenaran. Dan nabi membawa kebenaran. Membelakangi nabi bererti membelakangi kebenaran. Oleh itu, banyaklah kepalsuan yang datang kepada kita.

Orang yang ditimpa kepalsuan ini akan menjadi ego dan sombong. Mereka akan berpegang dengan ideologi mereka sendiri dan membelakangkan nabi.

Apa pendapat kita apabila ada seorang perempuan berkata begini :

"I don't need unpleasant people to judge me.
let me be what i want."

Baiklah, bagaimana halnya jika orang yang dikatakan 'unpleasant' padanya itu adalah alim ulama mahupun sahabat handai yang kasihkannya ?

Oh, kalaulah orang ini mempunyai kekasih seperti perempuan-perempuan lainnya, apakah mungkin kekasihnya sama sepertinya, atau adakah wujud manusia yang suci hati namun masih pula ada nafsu untuk 'bercinta-nafsu' seperti itu ?

Adakah wujud cinta suci dalam diri dua orang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim kemudian berpegangan tangan, menyandar kepala antara satu sama lain, berpelukan dan bercumbu-cumbuan ? Tidak usah berbicara mengenai aurat dan batas-batas berpakaian, semuanya main pakai hentam sahaja, meski dahulu kononnya tidak begitu ?

Tidak bolehkah kemaksiatan ini ditegur atas nama agama yang murni ?

Bagaimana agaknya tujuan kembara rohani hidupnya ?

Benarkah ataupun bercelaru sama sekali ?

Lupakah dia pada amar makruf nahi mungkar. Bayangkan sahaja dirinya tanpa teguran dan pedoman, ke manakah agaknya dirinya dihabiskan ?

Tentulah ke arah kepalsuan.
Kepalsuan yang akan merosakkan kembara rohaninya.
Ramai anak-anak lupa tentang kembara rohani mereka dek kerana tertipu dengan kepalsuan dunia.

Agaknya bagaimanakah legasi yang ditinggalkan ibu bapanya kepadanya ? Baikkah atau burukkah ? Jika buruk, maka kita fahamlah. Jika baik, mengapa pula boleh jadi begitu ?

Kerana dia tidak mencari pedoman sebenar. Pedoman sebenar ada pada nabi dan ahli keluarganya. Jika dirinya adalah perempuan, maka lihatlah peribadi Sayyidatina Fatimah az-Zahra yang solehah itu. Adakah tidak layak perempuan mulia ini menjadi pedoman baginya ? Adakah Fatimah Az-Zahra juga menjadi sebahagian manusia yang 'unpleasant' baginya jika tuntutan kebenaran yang dibawa oleh wanita mulia itu berlawanan dengan kehendak hawa nafsunya ?

Bagaimana hal ini boleh berlaku ?

Kembara rohaninya telah dicemari dengan nafsu. Kita umpamakan sahajalah kita sedang memandu kereta di atas jalanraya yang penuh tahi lembu. Kemudian, kereta kita menyodok tahi lembu itu sampai habis kotor semuanya. Lalu kita akan sampai ke destinasi dalam keadaan kereta kita telahpun kotor dan jijik kelihatannya. Begitulah halnya dengan kembara rohani kita. Kalaulah sepanjang kembara itu kita telah dikotorkan dengan hawa nafsu kita sendiri dan kita sampai ke destinasi kelak dalam keadaan jijik, apakah kita akan mendapat belas kasihan ?

Sama ada lelaki atau perempuan, kita perlu menyucikan kembali kembara rohani kita. Duniawi membuatkan kembara kita sama sekali terkandas di pertengahan jalan. Sudahlah begitu, pertolongan tidak pula sampai dek kerana kita tidak mahu dan sombong untuk bertaubat kepada Allah.

Ya, manusia yang sombong memang akan dipencilkan. Sedang sombong dengan manusia pun akan dibenci, apatah lagi dengan Tuhan.

Sedang dengan Tuhan pun hendak menipu, apatah lagi sesama manusia.

Inilah yang perlu kita sucikan kembali. Kita memerlukan sebuah perjalanan yang tenang, meski beribu ujian mendatang. Dengan iman dan amal, kita dapat menangkisnya dengan baik.

Maha suci Tuhan, semoga Tuhan memperbetulkan kembali jalan kembara rohani kita ini...

Friday, March 05, 2010

ALANGKAH INDAHNYA HIDUP INI...

Kalaulah...

Saya kata kalaulah...

Nabi Muhammad s.a.w itu masih hidup...

Akan saya usahakan diri saya untuk berjumpa dengannya seperti berusahanya remaja kita untuk pergi ke konsert-konsert ataupun gig-gig celaka yang merosakkan jiwa dan iman...

Akan saya peluk seerat-eratnya kekasih Allah itu, meski tubuh saya ini begitu hina untuk berdakapan dengannya yang suci tulus bersih...

Akan saya leraikan beban dunia ini kepadanya...

Akan saya luahkan segala-gala masalah saya kepadanya...

Semoga...

Dengan berkatnya,

Akan saya ketemukan ketenangan dan kebahagiaan hakiki,

Meski saya tidak punya apa-apa,
Meski saya tidak punya ibu bapa,
Meski semua rakan-rakan meninggalkan saya,
Meski seluruh manusia membenci saya,
Meski saya dihalau daripada masyarakat cantik,
Meski saya kehilangan dua mata mahupun dua tangan ataupun dua kaki,
Meski saya tidak setampan seperti mana lelaki tampan yang digilai ramai wanita celaru fikiran,
Meski saya sering diumpati rakan-rakan mahupun musuh-musuh,

Semua itu saya tidak peduli lagi,
Sekiranya saya dapat mendakap baginda,

Seerat-eratnya...

Saya mahu berjumpa dengan baginda dan sahabat-sahabatnya,
Cemburunya saya dengan sahabat baginda adalah seperti cemburunya seorang isteri terhadap seorang suami....

Cemburu kerana kasih, bukan kerana benci...
Bolehkah kita berbuat begitu melainkan kita benar-benar sayang akan seseorang itu ?

Tidak cemburukah kita melihat manusia-manusia lalu dapat ketemu sama junjungan mulia itu ? Tidak cemburukah kita mengetahui mereka dapat bersolat bersama-sama baginda ?
Tidak cemburu ?

Bererti rosaklah jiwa kita dek kerana sudah terlalu asyik dengan dunia.

Ya, menggilai habuan dunia seperti lelaki, perempuan, kekasih, duit, makanan, minuman, kereta mewah, rumah mewah, saham dan banyak lagi permainan dunia...

Hidup menjadi indah sekiranya kita bersama-sama dengan sebuah keindahan hakiki. Dan baginda membawa keindahan itu.

Agama kita.

ISLAM.

Islam membawa makna sejahtera. Sepatutnya kita membawa kesejahteraan, bukan kerosakan.

Mengapa ramai remaja Islam merosakkan ?
Kerana mereka telah dirosakkan ?

Siapa yang merosakkan ?

Dunia yang menipu.

Dunia menghambat manusia untuk melanggar perintah Tuhan.
Dunia menghambat manusia untuk sesuka hati membuka aurat dan berpakaian mengikut bentuk tubuh badan sehinggakan tidak ubah seperti sarung nangka yang rabik dek dimakan semut.

Dunia menghambat manusia untuk bermusuh-musuhan sehinggakan kalau kita dalam satu bahagian kecil di dalam sebuah dunia kekalutan, kita masih hendak bergaduh.

Dunia menghambat kita untuk menggilai wang, pangkat dan nama sehinggakan kecil-kecil lagi kita diajar untuk menjunjung Tuhan HIBURAN yang menawarkan wang, nama dan kekayaan.

Dunia menghambat kita untuk meninggalkan segala pesan nabi.

Dunia menghambat kita untuk meninggalkan segala perintah agama.

Dan dunia menghambat kita untuk meninggalkan Tuhan dalam hidup kita.

Di sebalik dunia itu ada kekejian yang nyata. Syaitan yang direjam.

Manusia begitu mudah tertipu disebabkan lemahnya iman...

Lemahnya iman kerana terlalu sibuk dengan hal keduniaan...

Inilah gara-gara kita tidak mencintai nabi kita...

Padahal kita tahu mencintai nabi juga bererti mencintai Tuhan...

Hidup menjadi sempit, Langit seakan-akan menghimpit. Seolah-olah tiada lagi ruang untuk kita bernafas selega-leganya.

Tikar sejadah hanya menjadi hamparan indah namun tiada tanda-tanda zuhud padanya. Ya, kita perlu tinggalkan dunia ketika hendak solat. Itu yang diajar nabi. Namun, ketika solat pun kita masih memikirkan dunia.

Kita masih memikirkan tugasan yang entah apa nilaiannya di sisi Tuhan.

Kita masih memikirkan tentang tunang kita yang menipu kita.

Kita masih memikirkan jiran kita yang bergaduh dengan kita sehinggakan bertembung pun tidak sudi menguntumkan senyuman apatah lagi memberi salam.

Lupakah kita Allah melaknat jiran yang tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bayangkan sahaja jika kita berdendam selama-lamanya. Selama itulah hidup dilaknat Allah. Nabi ada mengajar begitu ?

Tidak.

Nabi mengajar tentang keindahan budi pekerti. 

Nabi mengajar kita untuk memandang kepada orang yang bercakap kepada kita, bukan kita menoleh ke tempat lain. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nabi mengajar kita untuk memberi senyuman kepada rakan-rakan. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nabi mengajar kita untuk memaafkan. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nabi mengajar kita untuk menerima ketentuan Allah dengan tenang. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nabi mengajar kita untuk berhati-hati ketika berbicara. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nabi mengajar kita untuk berpakaian menutup aurat dan dilonggarkan, bukan diketat-ketatkan. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nabi mengajar kita supaya berbaik-baik dengan jiran. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nabi mengajar kita supaya menziarah orang sakit. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nabi mengajar kita supaya mengawal amarah kita. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nabi mengajar kita supaya sentiasalah bertaubat kepada Allah. Kerana hal itu adalah akhlak.

Nah.

Cubalah ditelitikan satu persatu. Kalaulah kita merendah diri dan melakukan semua perkara di atas, adakah martabat kita jatuh ? Adakah kita kelihatan seperti si dungu ? Adakah kita kelihatan seperti si bahlol ? Tidak. Bahkan itulah yang nabi lakukan.

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan mengatakan kesemuanya itu sebagai tindak-tanduk orang bahlol, samalah halnya tuan-tuan mengatakan yang nabi kita bahlol. Nauzubillah...

Sampai hati tuan-tuan...

Lalu, apa pula ceritanya jika kita masih berlaku sombong dan sentiasa berkata perkara-perkara yang keji dan buruk ? Itulah tanda kita tidak mahu merasa keindahan hidup di dalam keredhaan Allah.

Kerana hal-hal inilah, saya kepingin mahu berjumpa dengan Nabi, biarpun nabi hanya tersenyum dari kejauhan. Sesungguhnya, demi Allah yang memegang jiwa saya, akan mengalirlah air mata apabila melihat ketenangan senyuman baginda yang tulus murni. Saya tidak tahu siapa lagi yang boleh senyum seperti Rasulullah s.a.w ?

Hero-hero Korea pujaan anda, dapatkah menyamai senyuman baginda ?

Hero-hero barat anda, dapatkah menyamai senyuman baginda ?

Hero-hero Hindustan anda, dapatkah menyamai senyuman baginda ?

Heroin-heroin anda semua, dapatkah menyamai senyuman baginda ?

Rasanya tidak.

Oleh itu, mengapa digila-gilakan orang-orang seperti itu, padahal ada lagi manusia yang lebih hebat iaitu nabi kita Muhammad s.a.w. 

Tahukah anda bahawa nabi ingin sekali berjumpa dengan kita kerana kita mencintai baginda tanpa melihat wajah baginda. Jika anda beralasan kita tidak tahu bagaimana wajah nabi, anda termasuklah dalam kalangan orang-orang yang bodoh sombong.

Nabi berkata begitu sehinggakan sahabat terdiam. Padahal kita tahu benar para sahabat sentiasa berdampingan dengan nabi, namun nabi lebih teringin hendak berjumpa dengan kita, umat yang tidak berkesempatan berjumpa baginda, namun kita terlalu menyayanginya.

Kita terlalu menyayanginya sehinggakan kita rasa hendak menciligilingkan mulut manusia-manusia yang kurang ajar menghina baginda.

Kita terlalu menyayanginya sehingga kita rasa hendak berhenti berbicara selama-lamanya dan mulut kita hanya berselawat ke atas nabi.

Namun, itu kita kirakan sebagai keterlaluan. Memadailah kita lakukan semampu kita.

Tahukah kita nabi itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak kita ?

Kalau kita berakhlak buruk, rasa-rasanya siapa yang telah gagal ?

Nabi atau kita ?

Tentulah kita.

Hal itu kerana nabi telah menggarispanduankan tatacara berakhlak mulia, kita pula begitu bebal hendak berkelakuan sebaliknya dengan berperangai buruk dan suka berkelahi dengan orang lain.

Ingatlah peristiwa nabi hendak memberitahu kita perihal lailatulqadar namun baginda menjadi lupa dek kerana ada beberapa orang arab sedang berkelahi.

Sungguh bergaduh, berkelahi dan berperang mulut itu sesuatu yang amat hina. Ianya menjatuhkan maruah kita, meskipun kita di pihak yang benar.

Nabi tidak pernah bergaduh, walaupun kita tahu yang nabi nabi memang di pihak yang benar.

Kenapa kita yang telah sedia maklum sentiasa melakukan dosa ini nak tunjuk hebat dengan selalu bergaduh kemudian pandai-pandai menghukum "Dia salah, bukan aku !!!"

Dengan bergaduh, kita semakin menjauhi keindahan hidup yang sebenar. Tidak ada indahnya hidup ini dengan membenci, berkelahi dan berdendam, melainkan kita semakin tertekan dan mulalah hendak membenci semua perkara, termasuklah membenci Tuhan kerana kononnya memberi kehidupan yang sempit kepadanya.

Begitulah hal, tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Kalaulah Nabi Muhammad s.a.w masih hidup dan melihatkan perangai kita masakini, entah bagaimana perasaan baginda. Mungkin sahaja baginda akan sujud dan memohon kepada Allah agar kita dipanjangkan umur untuk bertaubat.

Malunya kita dengan nabi kita yang penyayang ini.

Mana kita hendak letak muka pada manusia mulia ini kelak ? Dengan perangai kita yang tidak senonoh, layakkah kita memohon syafaat baginda di akhirat kelak ?

Oleh itu, marilah kita sama-sama mencintai baginda Nabi Muhammad s.a.w, dan amalkanlah sunnahnya dan kasihilah juga keluarganya dan para sahabatnya kerana mereka adalah manusia mulia dan tempat untuk kita mencari pengajaran dan pedoman dalam kehidupan. Sentiasalah membaca al-Quran agar hidup menjadi tenang dan damai...

Wallahua'lam...