Nuffnang

Wednesday, January 04, 2012

PANTUN MELAYU BUAT AMALINA


Datuk panglima menyambut tetamu
Tetamu datang dari seberang
Adat hidup biar berilmu
Kelak mulia dipandang orang

Pendekar Tua mengayuh perahu
Mengajar silat di dalam gelanggang
Hendak berkelana perlulah tahu
Adat hidup di tempat orang

Si tukang kebun kakinya lenguh
Setelah penat menanam pisang
Iman di dada mahulah teguh
Supaya tidak hidupnya songsang


Orang Cina membuat tauhu
Dijual sama di pasar ikan
Pandai belajar tak tentunya tahu
Bagaimana mahu mengurus iman

 Pasang pelita asap jelaga
Hitam warna bak kayu arang
Aurat itu wajiblah dijaga
Walaupun jauh di rantau orang

 Berjalan jauh ke negeri Melaka
Tempat berhimpun si anak dagang
Jangan sekali dikau terleka
Kelak nanti dicemuh orang



 Menangkap ikan dengan bubu
Bubu dipasang di Sungai Bantang
Berjaga-jaga wahai si ibu
Jangan dipakaikan seluar yang jarang

Kain lusuh warna kelabu
biarpun lusuh kainnya tahan
Sepintar mana anakmu ibu
Ajarlah dia takutkan Tuhan

Bidan mengubat orang bersalin
  Usailah sudah melahirkan anak
Kami tak kisah anakmu rajin
Janganlah sampai menjadi bongkak

 Dara menjemur kain yang basah
Setelah dibasuh di pinggir kali
Sungguh molek perempuan solehah
Biarpun rajin resminya padi

Jalan semak banyak duri
  Takut koyak seluar dipakai
Jangan si ibu meninggi diri
Kalau anaknya 'tersangat' pandai

 Masuk hutan memotong kayu
Kayu diikat dengan rotan
Untuk apa pakaian begitu
Pada Tuhan tiada dibenarkan

Tersangkut dawai kainnya carik
Ditutup dengan kain basahan
Ikutlah resmi perempuan yang baik
Moga rahmat Tuhan curahkan...


*Kepada Nur Amalina, memandangkan anda masih lagi ikon masyarakat Malaysia, maka memanglah anda akan jadi buah mulut orang, lebih-lebih lagi bila anda berpakaian begini di tempat orang. Meskipun ibu anda mempertahankan dengan alasan dia ada bersama anda ketika gambar-gambar ini diambil, namun itu bukanlah hujah untuk membenarkan anda berpakaian mencolok mata seperti ini. Ibu anda pun tak patut membeli seluar seperti itu kepada anak perempuannya kerana itu bukanlah pakaian perempuan baik-baik. Kalau anda kata ada ramai lagi perempuan berpakaian macam itu di luar sana, MEMANG. Tetapi anda adalah 'public figure', maka andalah akan menjadi bualan semua orang. Mereka itu semua adalah 'public', jadi ia akan menjadi 'common'. Tapi anda adalah perhatian masyarakat, jadi berhati-hatilah dalam berpakaian, berperangai dan juga percakapan anda. Di sini, ada lagi manusia yang lebih pandai yang tahu menilai percakapan anda sama anda seorang yang bijak atau bodoh sebenarnya. Wallahua'lam.

Oh ya, perhatikan corak jawapan ibunya kepada media. :-)

JOHOR BAHRU - Hati ibu mana yang tidak terkilan jika anak yang ditatang bagai minyak yang penuh tujuh tahun yang lalu, kini ditohmah dengan pelbagai tuduhan kononnya liar dan tidak berakhlak.

Apa lagi Nur Amalina Che Bakri sebagai idola pada suatu ketika pernah membanggakan bukan sahaja ibunya, Sabariah Hassan, 52, malahan juga negara sebagai Pelajar Terbaik SPM 2004.

Ketika itu ramai ibu bapa mahu anak mereka menjadikan Nur Amalina sebagai idola.

Namun kini, apabila laman Facebook peribadinya dicerobohi, nasib Nur Amalina sudah jauh berbeza.

Dia tidak lagi disanjung seperti dahulu, malah ada juga yang menuduh pencatat sejarah dengan keputusan SPM 17A1 itu sebagai seorang anak gadis yang berubah liar kerana mengalami kejutan budaya.

Ini berikutan gambar peribadinya bersama rakan-rakan yang dirakam dalam keadaan dia berpakaian yang boleh disifatkan sebagai seksi, tersebar di Internet.

“Tidak! Anak saya bukan anak gadis yang liar. Saya tahu dia lebih daripada orang lain. Bukan saja kerana dia anak saya, malah kami berhubung hampir setiap malam. Malah saya juga sudah 13 kali ke sana (United Kingdom), sejak dia menuntut di sana,” kata Sabariah kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tuduhan kononnya Nur Amalina yang kini berusia 23 tahun tewas dengan kejutan budaya hidup di negara Barat hingga kini tidak lagi bertudung, juga tidak benar.

Anak saya memang tidak bertudung. Orang hanya tengok gambar dia semasa dia bersekolah menengah. Waktu itu dia memang bertudung ke sekolah,” katanya.

Nur Amalina kini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam dua bidang iaitu jurusan perubatan dan sains farmakologi di University of Edinburgh, Scotland bawah tajaan Bank Negara Malaysia.

“Saya bukan semata-mata nak membela anak saya. Sebagai ibu, saya juga tentu tak akan terima jika berlaku sesuatu yang tidak baik kepada anak saya. Namun saya tahu dia macam mana. Gambar yang disebar itu, saya sendiri yang rakam sewaktu kami bercuti bersama rakan-rakan anak saya di Paris tiga tahun lalu. Malah seluar yang dia pakai itu, saya sendiri yang beli,” kata Penolong Kanan I Sekolah Menengah Kebangsaan Johor Jaya, di sini.

Sabariah berkata, tuduhan konon Nur Amalina sudah berubah hingga mewarnakan rambut, gemar bersosial malah menjalani kehidupan yang liar hanya fitnah pihak tertentu yang sengaja mahu mencemarkan nama baik anaknya.

“Pelajaran anak saya tidak terjejas pun. Dia kini dalam proses menerbitkan buku yang akan digunakan oleh pelajar perubatan, pensyarah dan pengamal perubatan yang dihasilkannya dengan bimbingan profesor di sana.

“Empat kajiannya telah diterbitkan sebagai jurnal dan dia akan menjalani praktikal di Oxford bermula November ini,” katanya.

Ditanya sama ada anaknya tahu mengenai gelombang fitnah itu yang mula membadai laman maya sejak beberapa hari lalu, Sabariah berkata, Nur Amalina yang memaklumkan kepadanya akan hal itu.

Dia beritahu saya malam Isnin lalu, ketika kami berhubung menerusi Skype. Ina (Amalina) kata dia terima 800 permohonan rakan baru Facebook dari Malaysia. Rupa-rupanya yang ramai itu kerana ada isu gambar dia. Tetapi dia KETAWA saja,” katanya.

Sabariah yakin, anaknya cukup kuat untuk menangani hal itu.

“Saya sendiri harap penga­jiannya tidak terjejas. Saya pernah menitis air mata sewaktu mengunjunginya di sana apabila melihat dia tekun ulang kaji pelajaran hingga jam 3 pagi di perpustakaan universiti dengan hanya ditemani pengawal keselamatan. Katanya, itu kehidupan yang dia lalui hampir setiap hari,” katanya.

Kata Sabariah, kali terakhir mereka bertemu, 10 Disember lalu ketika dia ke sana untuk meraikan hari kelahiran Nur Amalina.

Gadis itu dijadual akan menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan Mei tahun depan.

“Kepada pihak yang sewenang-wenang melempar dan menyebar fitnah terhadap anak saya, saya harap mereka boleh fikir dan timbang, bagaimana jika gambar peribadi mereka sendiri, atau anggota keluarga mereka diceroboh, disebar dan difitnah yang bukan-bukan? Saya harap mereka dapat fikir. Itulah perasaan saya sekarang, sangat terkilan,” katanya. (Sumber: Sinar Harian)

Ya, ibu mithali. Kami mengerti benar perasaan anda. Makanya, suruhlah anak anda berpakaian yang baik-baik dan janganlah berpeluk-pelukan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Itu kan memang HARAM. Orang Malaysia ni prihatin. Mereka akan terus bercerita selagi mereka mampu. Jadi, jangan tuju pada orang ramai saja, anak anda itu sendiri pun tegurlah baik-baik supaya dia menutup auratnya dengan sempurna dan jagalah pergaulannya supaya kelak dia selamat dan sejahtera. Dan tahniahlah sebab dah nak terbitkan buku. Nanti kita suruh ahli akademik di negara kita baca buku itu dan menilainya ya... :-)

Wallahua'lam...

Oh ya, di sini saya sertakan sama instrumental DONDANG SAYANG di mana anda yang tahu berdondang sayang bolehlah nyanyikan rangkap pantun yang ada di entri ini dengan diiringi dengan instrumental ini. :-)