Nuffnang

Saturday, December 13, 2014

POHON BESAR DI TENGAH KOTA

Aku memerhatikan pokok ini lebih kurang 8 tahun. Ia terus gah berdiri di sini.

Di tengah kota ini.

Aku kira, berpuluh tahun ia di situ. Tak ada yang mengganggu.

Atau. Belum ada yang rasa perlu mengganggunya.

Banyak pokok di dunia ini memerlukan masa berpuluh malas ratusan tahun untuk jadi besar, tinggi, kuat dan teguh.

Namun, manusia dengan sekali jalan, boleh memusnahkan semuanya.

Aku kira, dalam banyak hal begitulah yang selalu berlaku.

Apa yang kita kumpul, kita bina dan kita jaga boleh musnah kesemuanya dengan sekali perbuatan salah yang kita lakukan.

Macam menjaga sebuah negara. Kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga sebuah negara, kalau tersilap langkahnya dek kerana hanyut , lalai dan leka, maka kekuatan yang dibina berpuluh-puluh tahun dahulu boleh hancur semuanya.

Dan untuk membinanya kembali bukan mudah.

Umpama meruntuhkan sebuah bangunan lama untuk membina bangunan baru.

Menguruskan bangunan yang runtuh itu saja sudah cukup menyeksakan sebelum boleh tegak berdiri sebuah bangunan yang baru di atas tapak yang sama.

Pohon yang tinggi ini juga mengajar aku erti kerendahan hati.

Betapa besar kita memegang pangkat dan jawatan dunia, sekali kita berada di tengah-tengah alam semulajadi, kita boleh merasakan betapa kerdilnya kita di sisi ciptaan Tuhan yang Maha Cantik.

Tapi macam biasa.

Manusia selalu angkuh dan sombong. Semua itu tak ada nilai sekiranya tidak mendatangkan keuntungan duniawi kepada mereka. Maka ciptaan Tuhan yang cantik ini mereka hancurkan dengan sesuka hati. Harimau menyerang manusia kerana manusia itu sendiri yang mengganggu tempat tinggalnya, iaitu hutan belantara.

Manusia sememangnya telah dipersoalkan sebelum mereka diciptakan lagi.

Tapi, Tuhan Maha Mengetahui. Meski manusia selalu merosakkan, manusia jualah yang berusaha membetulkan. Kerana di dalam diri manusia itu, Tuhan mengurniakan akal fikiran yang sangat ajaib.

Dengan akal fikiran, manusia juga merasa insaf dan mengakui kesilapan sendiri. Dengan akal fikiran, mereka berusaha pula untuk membetulkan kesilapan mereka. Kerana itu Tuhan memberikan mereka jalan taubat, jalan kembali kepada-Nya.

Alam seluruhnya menyaksikan, yang manusia itu kalau bersahabat dengan alam, maka alam juga merasa bahagia dengan manusia. Akan tetapi, kalau manusia bermusuh dengan alam, maka janganlah hairan kalau alam memuntahkan segala malapetaka kepada kita, dan kita sendiri menanggung deritanya.

Cukuplah Tuhan mendatangkan banjir kepada kita. Tengoklah betapa peningnya kita untuk menanganinya.

Cukuplah Tuhan mendatangkan jerebu kepada kita. Tengoklah betapa sakitnya kita untuk menghadapinya.

Dua contoh itu adalah sedikit daripada banyak kesilapan yang kita lakukan dengan alam, sehingga alam dengan dukacitanya kepada kita mengajar kita dengan sedikit derita bencana. Tapi manusia terus tidak keruan.

Manusia tidak akan hidup tanpa alam. Kerana alam tempat manusia berpijak dan bergantung harap.

Manusia wajib bersahabat dengan alam.

Dan alam akan menunjukkan kepada kita hikmah yang akan kita ketemui...

Friday, December 12, 2014

DI MANA AKU BERSANDAR

Dunia makin menghimpit.
Tubuh makin tersepit.
Jiwa semakin perit.
Tak ada yang rasanya mudah.
Semua jalan kelihatan sempit.
Bawalah kenderaan besar, nescaya tersekatlah ia di pertengahan jalan.
Bawalah kenderaan kecil, nescaya tak mampu ia bergerak membawa aku yang terbeban dengan segala perkara.

Mata semacam berpinar-pinar.
Kepala terasa pening.
Hati terasa sakit.

Terasa seperti semua orang sedang menghukum.
Meletakkan aku di dalam fikiran mereka dengan seribu satu macam kesalahan.
Seolah-olah tidak pernah ada lagi kemuliaan dalam hidupku.

Ketika itu,
Di mana seharusnya aku bersandar melepasksn lelah...

Sedang Tuhan telah lama aku tinggalkan.
Tetapi aku terlupa,
Bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan aku.
Senantiasa Ia ada di sana menilai aku.
Memayungi aku dengan rahmat-Nya.
Mengasihani aku dengan Maha Pengasih-Nya.

Kembalilah kepada-Ku.
Jangan kau susah.
Jangan kau gundah.
Tidak akan aku mengabaikan ciptaan-Ku yang paling sempurna...

Sepertinya aku terdengar 'seruan' itu.
Di dalam hati kecilku...