Nuffnang

Wednesday, August 30, 2017

MENCARI RAHMAT DI HOSPITAL (1)

Maafkan saya.

Sudah begitu lama saya meninggalkan blog saya yang satu ini tanpa sebarang entri baharu. Tetapi, tidaklah sampai terbiar mati. Sebaliknya, sentiasa ada cubaan untuk menghidupkan semula, cuma ketandusan idea untuk menulis.

Pun begitu, beberapa hal yang berlaku ke atas diri saya baru-baru ini sedikit sebanyak memberi ilham untuk menulis.

Ya, hal yang biasa-biasa sahaja. Namun, kalau direnung jauh ke dalam, ada banyak keinsafan yang boleh diambil.

Semenjak tahun 2009, saya merupakan salah seorang pesakit yang akan bertandang ke sebuah hospital di selatan tanah air untuk mendapatkan konsultasi dan rawatan daripada klinik pakar. Dalam kes saya ini, ianya adalah klinik pakar THT (Telinga, Hidung & Tekak).

Saya ketemukan satu ketumbuhan aneh di dalam hidung saya satu ketika dahulu yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk mendapatkan nasihat di klinik tempat saya bekerja, di mana akhirnya saya disuruh merujuk ke hospital.

Dari situ, bermulalah 'pengembaraan' saya di hospital.

Disahkan menghidap sinus, ianya merupakan perkara biasa menurut doktor sekiranya saya menghidap asma, di mana memang itulah penyakit yang dihidapi saya sedari kecil.

Saya dibekalkan dengan ubat-ubatan seperti ubat sembur (dalam kes saya, saya selalu dibekalkan dengan ubat sembur Budenide Nasal Spray (64mg)) yang digunakan untuk melegakan lubang hidung saya sekiranya tersumbat dek kerana bengkakan yang terdapat di dalam hidung saya.

Hal itu berlanjutan sehinggalah sekarang. Namun begitu, rawatan saya dihentikan pada penghujung 2010. Sekiranya saya mahukan ubat, saya harus membeli di farmasi kerana kondisi saya ketika itu tidak memerlukan bekalan ubat berterusan. Namun, untuk membeli di farmasi juga agak mahal. Maka, tidaklah selalu saya membelinya.

Sekitar tahun 2016, saya mengalami sakit hidung yang teramat sangat. Ketika itu, saya sudah kurang menggunakan ubat sembur tersebut. Saya terpaksa mendapatkan rawatan di klinik. Apabila diperiksa, didapati bengkakan yang dahulunya tidak begitu teruk semakin besar dan hampir menutupi keseluruhan lubang hidung saya. Hal itu menyebabkan saya sukar untuk bernafas.

Sekali lagi, saya dirujuk ke Pakar THT. Kiranya, 'pengembaraan' saya akan bermula sekali lagi. Saya bertanyakan kepada doktor sama ada boleh ataupun tidak apa sahaja yang membengkak di dalam hidung saya itu dibuang.

Doktor tersebut bertegas mengatakan tidak meskipun saya sudah separuh nyawa menanggung deritanya. Beliau menyatakan bahawa apa yang bengkak itu merupakan sebahagian daripada hidung saya dan tidak sepatutnya dibuang. Beliau meyakinkan saya bahawa bengkakan itu boleh surut dengan ubat-ubatan yang betul.



Lalu, saya dibekalkan dengan dua jenis ubat sembur iaitu Oxy-Nase dan Budesonide 32mg. Saya diminta untuk menyembur ubat sembur Oxy-Nase selama 5 hari berturut-turut, kemudian ianya perlu dihentikan serta-merta. Kemudian barulah dituruti dengan Budesonide 32mg yang perlu disembur sehari 2 kali.

Semburan Oxy-Nase adalah yang paling menggerunkan saya kerana ianya sangat menyakitkan sehingga ada masanya 'menangkap' sehingga ke kepala. Menurut doktor, Oxy-Nase digunakan untuk mengecutkan bengkakan di dalam hidung saya. Manakala Budesonide adalah untuk melegakan hidung saya sekiranya tersumbat.



Sebelum itu, saya diminta kebenaran oleh doktor untuk memasukkan kamera di dalam hidung saya untuk diperiksa. Hal ini juga pada awalnya agak menakutkan saya kerana ianya dimasukkan tanpa bius atau apa-apa ubat penahan sakit. Oleh itu, memang terasa kamera itu berada di sekitar tekak saya ketika ia dimasukkan. Hasil daripada pemeriksaan itu mengesahkan bahawa sinus yang saya hidapi tidak kritikal dan boleh dibantu dengan ubat-ubatan.

Di sini, datanglah cerita-cerita orang awam.
Kalau hospital kerajaan, selagi boleh tidak perlu dilaksanakan pembedahan.
Sebaliknya di hospital swasta, kalau kita minta untuk buat pembedahan, mereka boleh laksanakan berdasarkan pemeriksaan-pemeriksaan awal dan sudah tentu, penyediaan wang yang banyak.

Saya rasa ianya betul.
Rasanyalah.

Bersambung...